Isnin, 28 April 2014

Anak Anda Lambat Bercakap? - Bahagian 1





“Anak saya sudah tiga tahun, tapi masih belum pandai bercakap. Baru boleh menyebut 1, 2 perkataan sahaja. Jika dibandingkan dengan kanak-kanak sebaya, anak saya jauh berbeza. Kakak dia dahulu pun sudah pandai bercakap dengan ayat yang panjang pada umur sebegini”
 - Encik Z.

Pernahkah anda mengalami, melihat atau mendengar situasi sebegini. Mungkin ada antara kita yang akan mengatakan, “Tak apa, nanti bercakap la tu, anak En.A pun macam tu juga dulu”, dan ada juga yang mengatakan “Berat mulut saja ni. Jangan risau, nanti ok la”. 


Situasi ini biasa terjadi terutamanya apabila kanak-kanak tersebut menunjukkan perkembangan yang normal bagi kemahiran-kemahiran lain seperti merangkak, berjalan, bermain dan sebagainya. Apa sahaja komen yang diberikan, realitinya adalah anak anda lambat bercakap. Untuk memahami situasi ini dengan lebih baik, anda haruslah mengetahui apakah itu “normal” dan “tidak normal” dalam perkembangan pertuturan dan bahasa kanak-kanak.



Perbezaan antara BAHASA & PERTUTURAN

Sebelum kita mula mengetahui apakah permasalahan yang mungkin timbul terhadap bahasa dan pertuturan kanak-kanak, kita selaku ibu bapa perlu tahu perbezaan di antara bahasa dan pertururan. Adakalanya kita keliru mengenai bahasa & pertuturan. Berikut adalah perbezaan antara kedua-duanya:

·         Pertuturan adalah ekspresi verbal bahasa termasuklah artikulasi (cara bagaimana bunyi  di bentuk dan disebut dalam perkataan)

·         Bahasa pula merangkumi fungsi yang lebih besar. Ia merujuk kepada keseluruhan system komunikasi iaitu menyampaikan dan menerima maklumat yang difahami. Ia boleh terdiri daripada bahasa verbal, bukan verbal dan tulisan.

Walaupun kedua-duanya merujuk kepada sesuatu yang berbeza, tetapi ianya selalu bertindih. Mungkin ada kanak-kanak yang boleh menyebut perkataan dengan jelas tetapi tidak boleh untuk menyambungakn perkataan menjadi ayat panjang manakala ada juga kanak-kanak yang boleh bercakap menggunakan ayat yang panjang tetapi sebutan bunyi setiap perkataan tidak jelas dan sukar difahami.



Perkembangan normal BAHASA & PERTUTURAN

Adalah penting untuk ibu bapa mengambil tahu mengenai perkembangan bahasa & pertuturan kanak-kanak sepertimana perkembangan kemahiran-kemahiran yang lain. Maklumat berikut akan memberikan sedikit klu mengenai perkembangan bahasa & pertuturan yang normal.


Sebelum 12 Bulan
 Apa yang penting dan perlu diperhatikan pada anak-anak dalam usia ini adalah bagaimana mereka suara dan bunyi-bunyi yang berkaitan dengan situasi. Cooing dan babbling adalah peringkat awal perkembangan. Apabila bayi meningkat usia (lebih kurang 9 bulan), mereka akan mula menyambung bunyi-bunyi pertuturan dan menyebut bunyi seperti ‘mama’ dan ‘dada’ (tanpa memahami maksud sebenar perkataan). Sebelum mencapai usia 12 bulan, bayi sudah mula mengenal objek biasa (cth: botol, susu, dsbg)





12 – 15 Bulan
Pada usia ini, kanak-kanak sepatutnya sudah memperolehi banyak bunyi pertuturan (cth: p, b, m, d dan n). Mereka mula meniru bunyi pertuturan dan perkataan yang disebutkan oleh ahli keluarga, dan biasanya sudah boleh menyebut 1 atau 2 perkataan (cth: susu, nak) secara spontan. Kanak-kanak juga sudah boleh memahami dan mengikut arahan mudah (cth: ambil botol , bagi mama ___)


Dari 18 – 24 Bulan

Walau terdapat perbezaan, kebanyakan kanak-kanak sudah dapat menyebut lebih kurang 20 perkataan pada usia 18 bulan dan 50 perkataan atau lebih setelah mencapai umur 2 tahun. Pada umur 2 tahun juga kanak-kanak sudah mula menyambung 2 perkataan dan membuat ayat ringkas (cth: nak susu, baby nangis, dsbg). Kanak-kanak 2 tahun juga sudah dapat mengenalpasti objek biasa (objek dan gambar), menunjuk kepada mata, telinga dan hidung apabila di tanya dan dapat mengikut arahan 2-langkah (cth: ambil botol bagi kat mama)



Dari 2 – 3 Tahun
Pada usia ini kanak-kanak sudah boleh berbahasa dengan baik, bertanya soalan dan menjawab soalan dengan baik. Bilangan perbendaharaan kata mereka meningkat dengan mendadak. Mereka sudah boleh mencantumkan 3 atau lebih perkataan untuk membentuk ayat. Kefahaman mereka juga meningkat, pada umur 3 tahun mereka sudah boleh memahami konsep (besar, kecil, atas, bawah dsbg) dan mereka juga sudah mula mengenal warna.





Dalam Anak Anda Lambat Bercakap? - Bahagian 2, kita akan melihat tanda-tanda awal, sebab serta apa yang boleh dilakukan oleh ibu bapa untuk membantu anak-anak mereka.



SLT Aishah
 

1 ulasan:

suhaila latip berkata...

Salam puan. Mcm mana utk kes kanak2 berumur 5 tahun tetapi masih pelat dan pembentukan ayat masih belum teratur?