Khamis, 24 April 2014

Ibu Bapa Yang Manakah Anda?



Sebagai ibu bapa, terlalu banyak peranan yang dimainkan. Adakala menjadi kawan, ada kalanya menjadi polis, menjadi guru, menjadi mekanik yang membaiki kerosakan, chef dan banyak lagi.  Sehinggakan kadang-kadang ibu bapa lupa bahawa peranan yang dimainkan akan memberi kesan kepada peluang anak-anak untuk belajar dengan lebih baik. Setiap apa yang dilakukan akan memberikan perbezaan dalam perkembangan dan pembelajaran anak-anak.

Apakah peranan-peranan yang memberi kesan kepada pembelajaran kanak-kanak?


Peranan #1 : Pembantu (The Helper)

Setiap ibu bapa mestilah ingin menjadi yang terbaik. Mereka merasakan bahawa mereka perlu sentiasa  ada di mana-mana sahaja ketika anak-anak memerlukan mereka.  Mereka menjadikan situasi lebih senang, mudah, cepat dan jelas ketika anak-anak sukar untuk memberitahu sesuatu atau melakukan sesuatu perkara.  Contohnya, menyuap  anak-anak makan walaupun sudah berumur 2 tahun atau 3 tahun kerana ianya lebih cepat dan kurang bersepah. Ada juga yang menolong anak untuk menjawab soalan yang ditanya oleh orang lain kerana ianya lebih cepat dan jelas.

Memang ianya mudah, cepat dan ringkas, tetapi juga akan menekan  atau menghalang peluang kanak-kanak untuk meluahkan rasa ingin tahu, perasaan dan juga kehendak mereka.


Peranan #2 : Penggerak (The Mover)

Menjadi ibu bapa adakalanya terlalu banyak perkara yang perlu dilakukan seperti menyediakan jadual harian, mangatur tugas harian, membeli belah, masuk dan keluar rumah dan banyak lagi. Ini kan memberikan anak-anak pengalaman yang banyak dan anak-anak juga mungkin seronok melakukan tugas-tugas ini bersama ibu bapa.  Tetapi jika ibu bapa mempunyai jadual untuk melakukan sesuatu perkara pada setiap saat, minit dan jam, ia tidak akan memberi kesempatan untuk ibu bapa melakukan hubungan dengan anak-anak untuk membolehkan mereka belajar. Mereka akan dapati bahawa mereka lebih banyak bercakap kepada anak-anak daripada bercakap dengan anak-anak.


Peranan #3 : Pengajar (The Teacher)

Sememangnya adalah tugas ibu bapa adalah untuk mengajar anak-anak. Terlalu banyak perkara yang ingin diajarkan sehingga ada kalanya hanya ibu bapa yang bercakap untuk menerangkan sesuatu pada kebanyakan masa.  Mereka juga lupa bahawa cara terbaik untuk belajar adalah membiarkan anak-anak melakukan sesuatu dengan sendiri daripada hanya sekadar melihat atau diberitahu apa atau bagaimana harus melakukannya. Apabila ibu bapa bercakap atau menerangkan sesuatu pada kebanyakan masa, ini akan mengurangkan masa dan peluang anak-anak untuk melakukan sesuatu dengan sendiri.


Peranan #4 : Pasangan responsive (The Responsive Partner)


Apabila ibu bapa memainkan peranan sebagai pasangan responsif, mereka akan menggunakan cara yang akan menggalakkan anak-anak untuk berhubung dan berkomunikasi. Kanak-kanak akan merasa lebih dihargai dan istimewa kerana :
1.       Membenarkan anak-anak untuk mengetuai (lead) sesuatu aktiviti atau perbualan. Mereka yang akan menetapkan cara sesuatu aktiviti / perbualan itu akan dilakukan
2.       Beradaptasi dengan keadaan dan berkongsi pengalaman dan minat bersama-sama. Sebagai contoh, jika kanak-kanak seorang yang pemalu untuk bercakap, kita mungkin boleh menggunakan atau mencari aktiviti yang disukai olehnya untuk menggalakkan mereka berkomunikasi
3.       Menambah input bahasa dan pengalaman. Aktiviti yang paling mudah untuk menambah input bahasa kepada anak-anak adalah melalui rutin harian. Sebagai contoh, ketika mandi, banyak input bahasa yang boleh diberi seperti, meyiram air, air sejuk, sabun badan dan sebagainya. Pada mulanya kanak-kanak tidak memahami ayat tersebut, tetapi mereka mendengar perkataan dan mendapat pengalaman yang membolehkan mereka untuk mengaitkan perbuatan dan perkataan.

 

Setiap peranan yang dimainkan oleh ibu bapa akan memberi kesan yang berbeza-beza. Adalah sukar untuk menolong anak-anak untuk belajar bercakap apabila ibu bapa yang melakukan segala-gala tugasan untuk anak-anak, sentiasa sibuk bergerak kesana-sini  ataupun fokus kepada mengajar anak-anak. Menjadi pasangan responsif akan memberikan peluang tanpa had untuk berkomunikasi dengan anak-anak dan menolong mereka untuk belajar.


Tunggu artikel seterusnya untuk penerangan yang lebih lanjut mengenai cara untuk menjadi pasangan responsif kepada anak anda.


SLT Aishah

Tiada ulasan: