Isnin, 26 Mei 2014

Strategi Untuk Menggalakkan Perkembangan Bahasa Kanak-kanak - Bahagian 2






#6 : Berkongsi Perhatian

Bayi dan kanak-kanak akan belajar dengan lebih cepat jika mereka fokus pada sesuatu objek atau orang. Berkongsi perhatian di sini bermaksud kanak-kanak dan orang dewasa memberikan perhatian dan bercakap mengenai sesuatu yang sama pada masa yang sama. Ibu bapa boleh menunjuk objek dan menunggu sehingga kanak-kanak melihat kepada objek tersebut sebelum melabel atau bercakap tentangnya. Ini adalah untuk memastikan kanak-kanak memberi tumpuan kepada objek dan mengaitkan objek dengan label yang betul.


#7 : Galakkan dan kembangkan bahasa 

Sentiasa galakkan anak-anak untuk bercakap dan berinteraksi dengan mendengar dan memberi respon kepada bunyi, perkataan atau ayat yang disebut oleh anak-anak. Seterusnya kembangkan bunyi, perkataan dan ayat yang dihasilkan oleh anak-anak dengan menerangkan, memanjangkan dan menambah perkataan dan ayat-ayat yang baru.

Contoh 1
Anak : Meoww…
Ibu : ohh kucing…bunyi dia meow, meow

Contoh 2
Anak : Kucing
Ibu : aah..kucing.. kucing tengah makan

Contoh 3
Anak : Mama, tu bola
Ibu : wahh..besarnya bola tu. Warna merah

Melalui cara ini, kanak-kanak akan dapat mendengar dan mempelajari bentuk ayat yang perlu digunakannya nanti. Ini merupakan model yang terbaik untuk menggalakkan kanak-kanak belajar bahasa.

#8 : Gunakan bahasa yang setara
Kebiasaannya, ibu bapa atau orang dewasa akan menggunakan bahasa yang mudah dan ringkas untuk berkomunikasi dengan anak-anak. Ini untuk memastikan anak-anak kecil mudah untuk memahami dan mempelajari bahasa. Menekankan perkataan  adalah salah satu cara untuk berinteraksi dengan anak-anak yabg kecil. Sebagai contoh “adik lompat”. Biasanya orang dewasa akan menekankan perkataan “lompat”. 

Ibu bapa atau orang dewasa kebiasaannya juga akan menunjuk ke arah objek, orang atau situasi yang diceritakan. Ibu bapa yang menggunakan bahasa yang ringkas dan mudah untuk memberikan contoh dan model baahsa yang mudah difahami dan diikuti oleh anak-anak kecil. Berikut adalah beberapa teknik yang boleh digunakan :

1.       Menggunakan ayat yang pendek dan kosa kata yang pelbagai
2.       Melebihkan intonasi dan pitch suara
3.       Menggunakan pause yang lebih panjang antara perkataan dan ayat
4.       Mengulang perkataan berkali-kali
5.       Menggunakan perkataan secara bertindih sepert “oh bola…bola warna biru”
6.       Memanjangkan bunyi vocal seperti “woooowww caaantiknyaaa”
7.       Mengulang dan memperbaiki ayat anak seperti kanak-kanak menyebut “bola atas” dan ibu bapa menyebut “ye..bola kat atas meja”
8.       Bercakap mengenai sesuatu yang tiba-tiba ada
9.       Menggunakan soalan untuk menggalakkan anak-anak bercakap
10.   Melabel perkataan, kata nama dan kata kerja mengikut konteks yang sesuai

Apabila kanak-kanak makin membesar, ibu bapa atau orang dewasa akan menukar gaya bahasa yang digunakan. Bahasa akan menjadi lebih panjang dan kompleks. Tujuan penggunaan bahasa juga akan turut bertambah seperti untuk menyuruh, meminta, bertanya, memberitahu dan sebagainya.


#9 : Bertanya soalan dengan berhati-hati dan terkawal

Orang dewasa biasanya menggunakan soalan untuk mula berinteraksi dengan kanak-kanak. Ada kalanya orang dewasa bertanya soalan kerana inginkan jawapan, ada kalanya juga orang dewasa bertanya kerana ingin menguji kanak-kanak seperti soalan “Apa tu?” sambil menunjuk kepada mainan atau gambar. Soalan jenis ini merupakan soalan tertutup kerana ia hanya mempunyai satu jawapan sahaja. 

Terdapat jenis-jenis soalan lain yang boleh digunakan iaitu soalan terbuka yang mempunyai lebih dari satu jawapan seperti “Adik nak main apa lepas ni?” dan juga soalan pilihan seperti “ Adik nak minum susu atau milo?”. Soalan begini boleh menggalakkan kanak-kanak untuk berfikir dan memberi jawapan. Ia juga menggalakkan kanak-kanak untung membuat pilihan dan kurang bergantung kepada orang dewasa.



#10 : Mendengar dengan “Mata”

“Seorang ibu mengambil anaknya dari pusat jagaan kanak-kanak, dan terus pulang ke rumah. Sesampai di rumah, si ibu terus je dapur untuk menyediakan makan malam. Ketika si ibu sedang sibuk menyediakan bahan-bahan masakan, si anak datang untuk menceritakan apa yang dilakukannya di sekolah. Si ibu tanpa melihat pada si anak terus menjawab ‘wahh… seronoknya”, dan si anak pun terus pergi dengan kecewa tanpa meneruskan perbualan”

Pernahkah situasi ini terjadi kepada anda?


Seorang ibu atau bapa sememangnya sibuk dengan aktiviti dan tugas harian. Ada kalanya tidak sempat untuk melayan dan memberi tumpuan pada apa yang ingin disampaikan oleh anak-anak kecil.

Kanak-kanak belajar untuk mendengar dan menerima arahan, mengambil giliran dan memberi perhatian pada komunikasi apabila orang-orang sekekiling mereka melakukan perkara yang sama kepada mereka. Mereka akan mendengar dengan teliti apa yang ingin dikatakan oleh ibu bapa dan juga mengekalkan interaksi. Mendegar bukan sahaja melibatkan “telinga” sahaja, tetapi “mata” juga adalah penting untuk menunjukkan perhatian dan rasa hormat semasa interaksi.


Walau apa jua strategi yang digunakan, perlu di ingat di sini bahawa komunikasi merupakan proses 2 hala yang mana ia memerlukan orang yang menyampaikan dan menerima mesej. Dalam apa juga situasi, perhatian, kasih sayang dan rasa hormat adalah kunci utama untuk berkomunikasi dengan baik. Apa yang dilihat oleh anak-anak, itulah yang akan dilakukannya. Oleh itu kita perlu lebih berhati-hati ketika menggunakan gaya tubuhketika berkomunikasi terutamanya dengan kanak-kanak yang masih lagi perlu mempelajari banyak perkara baru dalam hidup mereka.


SLT Aishah

Tiada ulasan: