Isnin, 23 Jun 2014

Gajet & Bahasa



Baru-baru ini saya ada terbaca satu artikel mengenai satu kajian yang dilakukan di United Kingdom. Dalam kajian tersebut mereka mendapati bilangan kanak-kanak yang mempunyai masalah kelewatan bahasa meningkat sebanyak 70% dalam masa 6 tahun dan mereka menyatakan bahawa gajet merupakan punca utama masalah ini. 

Adakah negara kita juga sedang mengalami masalah yang sama? 
Dan adakah anda fikir teknologi dan gajet merupakan punca utama masalah kemahiran bahasa ini?

APA PENDAPAT ANDA?

Sebelum kita berbincang dengan lebih jauh, tidak dinafikan bahawa teknologi, tablet, telefon pintar, komputer dan sebgainya merupakan peralatan yang penting dan digunakan setiap hari dalam hidup kita. Malah ianya telah menjadi satu keperluan dan bukan lagi sekadar kehendak. 

Saya juga mempunyai komputer, telefon pintar dengan internet 24 jam, tablet dan tv dengan siaran penuh astro. Saya juga ada kalanya menhabiskan banyak masa dengan komputer (sebahagian dari kerja) dan melihat facebook, whatsapp dan email di telefon pintar. Saya juga selalu melihat rata-rata orang asyik dengan gajet masing-masing walaupun ketika bersama-sama ahli keluarga dan kawan-kawan.

Kanak-kanak juga tidak ketinggalan dengan semua kemajuan ini. Mereka telah terdedah sejak dari lahir lagi. Kita juga melihat kanak 2 tahun, 3 tahun sudah pandai menggunakan telefon pintar dan tablet tanpa bantuan dari orang dewasa. Mereka pandai memuat turun, install dan bermain dengan aplikasi-aplikasi yang ada selama berjam-jam setiap hari.

Secara jujurnya saya ada terfikir bahawa teknologi sememangnya memberi kesan dan masalah kepada perkembangan bahasa dan pertuturan kanak-kanak. Ini adalah kerana, masa yang dihabiskan oleh kanak-kanak bersama dengan gajet adalah:

  • Masa kanak-kanak tidak bermain dengan permainan  "open ended”
  • Masa yang tidak digunakan berkomunikasi dengan ibu bapa dan adik beradik
  • Masa yang tidak digunakan untuk membaca buku bersama ibu dan bapa
  • Masa yang tidak digunakan untuk bermain di luar rumah
  • Masa yang tidak digunakan untuk meneroka permainan pondok-pondok dengan rakan sebaya
  • Masa yang tidak digunakan untuk belajar bagaimana berkongsi dengan kawan-kawan
  • Masa yang tidak digunakan untuk membina rumah/bangunan menggunakan blok dan mempelajari kemahiran motor


Bukan itu sahaja;

  • Masa yang digunakan untuk kanak-kanak menonton video untuk ke kedai sepatutnya boleh digunakan untuk berinteraksi dengan kanak-kanak, bercerita tentang apa yang ada disekeliling, apa yang berlaku di sekolah. Boleh juga bermain permainan teka-teki dan sebagainya. Kesemua ini memberikan komunikasi yang kaya dengan kemahiran pertuturan, bahasa, menyelesaikan masalah, penajamkan pemikiran dan sebgainya.
  • Masa yang digunakan untuk bermain permainan di computer sepatutnya digunakan untuk bermain ‘board game’ dengan ahli keluarga; aktiviti yang boleh merapatkan hubungan kekeluargaan dan juga meningkatkan kemahiran bahasa dan kognitif.
  • Jika kanak-kanak menonton tv sepanjang hari, mereka terlepas peluang untuk bermain permainan sebenar dan juga terlepas peluang untuk menera di luar rumah.

Dan situasi ini bukan sahaja pada kanak-kanak, tetapi jika ibu bapa terlalu sibuk dengan komputer, telefon, ipad, menonton tv; masa tersebut adalah masa yang tidak digunakan untuk berinteraksi dengan kanak-kanak untuk meningkatkan kemahiran bahasa mereka.




JADI..ADAKAH IANYA DISEBABKAN OLEH TEKNOLOGI?

Mari kita lihat situasi ini secara jujur. Boleh dikatakan ianya bukan teknologi yang menyebabkan masalah ini, tetapi kita yang tidak pandai untuk mencari peluang untuk betul-betul berinteraksi dengan cara yang bermakna. Mudah untuk kita menyalahkan ipad, tv, komputer, video game untuk semua masalah ini, tetapi secara realitinya, kita yang mengawal jumlah masa kanak-kanak bersama gajet, dan kita juga yang mengawal jumlah masa kita sendiri bersama gajet. Jadi ianya bukan gajet…ianya adalah kemahiran keibubapaan kita, kemahiran kita menguruskan masa. Saya bukan menyalahkan ibu bapa 100%, adakalanya kita tidak perasan, dan lama-kelamaan ianya akan menjadi perkara biasa, dan jika sudah menjadi kebiasaan, percayalah ianya sukar diubah.

“Tetapi anak saya sangat pandai menggunakan ipad dan dia ok je. Dia pula lagi maju dari saya”

Ianya adalah mungkin. Saya tidak cakap ipad akan merosakkan kanak-kanak, malah sekarang sudah banyak aplikasi-aplikasi yang sangat bagus dan boleh digunakan untuk belajar, malah tv juga ada menyiarkan rancangan yang baik untuk kanak. Tetapi ianya tidak bermakna mereka perlu dibiarkan bermain dengannya sepanjang hari.


“KANAK-KANAK BELAJAR BERTUTUR, BAHASA DAN KEMAHIRAN SOSIAL MELALUI INTERAKSI DENGAN ORANG YANG SEBENAR, BUKAN DARI APLIKASI GAJET DAN TV”

Dan bagi kanak-kanak, keseronakan berinteraksi adalah melalui bermain. BERMAIN di sini bermaksud duduk bersama-sama dan bermain dengan mereka dan membaca bersama-sama. Anda boleh membaca cerita menggunakan ipad, tiada masalah tetapi anda perlu MEMBACA, BERMAIN, BERCAKAP, BERINTERAKSI, KETAWA DAN MELAKUKAN HUBUNGAN MATA DENGAN BANTUAN TEKNOLOGI.


TEKNOLOGI MEMPUNYAI MASA DAN TEMPAT

Gajet bukanlah jahat. Menonton tv sekejap tidak akan merosakkan kanak-kanak. Banyak kajian menunjukkan dengan menonton TV secara bersesuaian, ia mampu membangunkan pemikiran kreatif kanak-kanak. Gunakanlah secara sederhana, gajet-gajet ini boleh menjadi alatan yang baik sebagai sumber maklumat, pembelajaran dan hiburan. SLT juga ada menggunakan ipad semasa sesi terapi. Gajet semestinya mempunyai masa dan tempat yang bersesuaian untuk digunakan; dan semestinya anda tidak perlu untuk membuang / menyimpan semuanya. Saya juga sukakan gajet dan adakalanya ia menyelamatkan dan memudahkan saya.



Tetapi teknologi tidak boleh mengajar kemahiran pada kanak-kanak, ia hanya boleh digunakan untuk melatih kemahiran yang sudah diperolehi oleh kanak-kanak. Hanya manusia sebenar yang boleh dan perlu mengajar kemahiran terlebih dahulu.


KESEDERHANAAN ADALAH KUNCI…BAGAIMANA?

Seperti yang katakan tadi, gajet dan teknologi bukanlah tidak baik, tetapi menggunakannya secara sederhana dan terkawal adalah lebih baik. Ianya sememangnya sukar untuk dilakukan bukan saja oleh kanak-kanak malah diri kita sendiri. Di sini saya berikan beberapa idea yang mungkin boleh digunakan:

  • Jadual penggunaan gajet / menonton tv  - sediakan jadual yang visual seperti jadual matapelajaran di sekolah. Had kan masa tertentu untuk menggunakan gajet. Contohnya sejam pada waktu petang dan sejam pada waktu malam. Begitu juga dengan tv. Pilih 2-3 rancangan yang digemari dan pilih waktu yang dibenarkan menonton. Tetapi pada masa terluang sediakan aktiviti-aktiviti yang boleh dilakukan oleh kanak-kanak seperti bermain, melukis, menulis dan sebagainya.
  • Gajet juga boleh digunakan sebagai hadiah kerana melakukan sesuatu yang baik. Sebagai contoh, selepas habis belajar, mereka boleh menggunakan gajet selama setengah jam dan sebagainya.

Sebaik-baiknya, kita ada bersama-sama kanak-kanak semasa menggunakan gajet. Jadi kita boleh menggunakan gajet sebagai alat untuk berinteraksi dan menggalakkan komunikasi pada masa yang sama.




JADI APA PENDAPAT ANDA?
Saya juga ingin mendengar dari ibu bapa diluar sana. Adakah anda rasa gajet memberi kesan kepada kemahiran pertuturan, bahasa dan social anak anda? Adakah anda sukar untuk mengawal penggunaan gajet di rumah anda? Jika ya, apakah yang anda lakukan?


Adakah anda membenarkan anak anda menggunakan gadget?
  
pollcode.com free polls 

Rujukan:

Tiada ulasan: