Khamis, 5 Jun 2014

Kegagapan Pada Kanak-kanak


Pernahkah anda mendengar anak anda mengulang sesetengah sukukata, perkataan atau frasa semasa bercakap? Contohnya seperti “mamamamakan” atau “dia..dia..dia pergi sana”. Dalam keadaan ini, anak anda mungkin mempunyai masalah kegagapan atau mungkin juga mereka sedang melalui peringkat kegagapan normal yang biasa dilalui oleh kebanyakan kanak-kanak yang sedang belajar bercakap.
Kegagapan adalah masalah pertuturan yang menyebabkan gangguan pada kelancaran sebutan perkataan ketika bertutur. Ia dicirikan dengan pengulangan sesetengah bunyi, sukukata, perkataan atau frasa, pemanjangan bunyi, atau penghentian bunyi.  


Adakah Anak Anda Gagap?

Kebanyakan kanak-kanak yang sedang belajar bercakap akan melalui fasa di mana mereka akan menunjukkan ciri-ciri gagap. Kebiasaannya ini terjadi pada kanak-kanak yang berumur 2 – 5 tahun. Kegagapan tersebut kebiasaannya akan hilang apabila kanak-kanak mencecah usia 5 tahun tetapi ada juga yang akan berterusan sehingga dewasa.



Terdapat beberapa jenis kegagapan yang biasa berlaku. Antaranya ialah :

Pemanjangan bunyi
Pemanjangan pada bunyi vocal dan konsonan

“Aaaaadik nak makan”
“L……letak kat situ”
“itu mmmmmama punya”

Sekatan pada bunyi
Sekatan terjadi apabila pertuturan kanak-kanak seperti tersekat. Kanak-kanak sukar untuk mengeluarkan bunyi dan boleh kelihatan pada memek muka mereka

“Mana b…….ola”
“D…..ia pergi sana”

Pengulangan
Pengulangan pada bunyi vokal, konsonan, sukukata, perkataan atau frasa

“B-b-b-b- baju warna merah”
“I-i-i-i-itu dia”
“Ba-ba-ba-baju warna merah”
“Baju-baju-baju warna merah”
“Baju warna-baju warna-baju warna merah”


Kenalpasti Kegagapan Pada Kanak-Kanak
Terdapat perbezaan kegagapan normal dan masalah kegagapan walaupun ia agak sukar untuk dibezakan pada peringkat awal. Kanak-kanak dengan kegagapan normal biasanya menunjukkan cirri-ciri seperti berikut:
  • Mengulang sukukata atau perkataan sekali atau dua se-se-perti ini. Ketidaklancaran sebutan juga termasuk penggunaan bunyi-bunyi tambahan seperti “err, emm, umm” 
  • Kegagapan terjadi dengan kerap diantara usia 1 ke 1 setengah tahun dan usia 5 tahun dan kegagapan tersebut tidak berterusan (datang dan hilang). Itu menunjukkan bahawa kanak-kanak sedang belajar berbahasa. Jika kegagapan hilang dalam beberapa minggu dan datang semula, itu bermaksud kanak-kanak sedang menghadapi fasa pembelajaran untuk berbahasa.
Jika  anak anda mengalami kegagapan yang berterusan dan konsisten, dapatkan penilaian dari terapis pertuturan-bahasa. Perhatikan juga ciri-ciri berikut: 
  • Pengulangan perkataan dan frasa menjadi lebih teruk dan konsisten. 
  • Pengulangan bunyi dan sukukata menjadi lebih kerap 
  •  Peningkatan dalam pemanjangan bunyi 
  • Sebutan pertuturan menjadi sukar  
  • Terdapat ketegangan pada otot-otot pertuturan 
  • Terdapat ketegangan pada suara yg menyebabkan peningkatan pada pitch dan kekuatan suara. 
  • Anak anda cuba mengelak dari situasi yang memerlukannya untuk bercakap 
  • Anak anda menukar perkataan yang menyebabkannya gagap. 
  • Anak anda menunjukkan memek muka dan pergerakan badan semasa terjadi kegagapan

Untuk lebih kefahaman dan contoh tentang masalah gagap dikalangan kanak-kanak, dibawah ada disertakan video dari Youtube yang diambil dari The Stuttering Foundation.


Ada kanak-kanak yang tidak sedar dan peduli tentang masalah kegagapan yang dihadapinya, tetapi kebanyakan kanak-kanak menjadi ‘concious’ dengan pertuturan mereka dan malu untuk bercakap. Keadaan yang berterusan boleh menyebabkan kanak-kanak menjadi tertekan apabila berhadapan dengan situasi yang memerlukan mereka untuk bercakap. 

Dapatkan penilaian dan rawatan awal untuk mengelakkan dari masalah ini menjadi lebih teruk.

SLT Aishah


Tiada ulasan: