Khamis, 10 Julai 2014

Apa Yang Kanak-Kanak Sepatutnya Faham



Kemahiran bahasa terdiri dari pemahaman dan penghasilan. Kanak-kanak biasanya akan memahami bahasa terlebih dahulu sebelum mereka menggunakannya dengan efektif. Kefahaman bahasa kanak-kanak akan meningkat dari masa ke semasa seiring dengan perkembangan umur mereka. Mereka belajar untuk memahami bahasa dan kegunaannya melalui pengalaman, pemerhatian dan interaksi bersama orang dewasa.


Jika kanak-kanak tidak boleh memberikan respon apabila namanya dipanggil, sukar untuk mengikut arahan mudah, tidak pandai untuk menunjuk pada objek yang dinamakan, anggota badan dan tidak boleh menjawab soalan-soalan mudah yang ditanyakan; mereka mungkin mengalami kelewatan dalam kefahaman bahasa mereka. Kefahaman bahasa adalah kebolehan kanak-kanak untuk memahami apa yang dicakapkan kepada mereka.

Berikut adalah senarai semak bagi kefahaman bahasa kanak-kanak mengikut umur (1-2 ½ tahun)

1 – 1 ½ Tahun


  • Memberi respon apabila nama dipanggil seperti memalingkan muka kepada sumber suara dan melakukan kontek mata
  • Mengenali dan menunjuk kepada objek atau orang apabila di Tanya
  • Memahami arahan mudah seperti “Ambil botol” dan perkataan “no/jangan”
  • Memberi objek apabila diminta atau mengambil dan membawa objek dari bilik yang berlainan apabila di suruh
  • Mengenali gambar objek dan orang yang rapat dengannya.


1 ½ - 2 Tahun

  • Memahami soalan dan arahan mudah seperti “mana kasut? ini apa? mama mana?”
  • Mengenalpasti beberapa anggota badan dan pakaian apabila dinamakan
  • Mendengar cerita dan menunjuk pada gambar apabila di Tanya
  • Memahami aksi mudah mengikut konteks seperti ada bayi sedang tidur dan kita meletakkan jari di bibir untuk menyuruh mereka diam
  • Menunjukkan kefahaman fungsi objek ketika bermain (cth: member makan patung menggunakan sudu)
  • Memahami lebih kurang 300 perkataan dan mengangguk / menggeleng pada soalan ya/tidak


2 – 2 ½ Tahun

  • Suka mendengar cerita yang sama secara berulang-ulang
  • Memadankan 3 – 4 warna yang sama
  • Memahami konsep asas seperti “besar vs kecil”
  • Menunjukkan bilangan jari apabila umur ditanya
  • Menjawab soalan “wh” mudah berkaitan dengan perkara yang ada di sekeliling
  • Boleh melakukan arahan 2-langkah (cth: ambil botol dan letak dalam sinki)
  • Mengenali aksi/ kata kerja (cth: makan, minum, lompat, tidur, dsbgnya)
  • Mengenalpasti fungsi objek dengan betul (cth: benda yang digunakan untuk minum – cawan, benda yang digunakan untuk gosok gigi – berus gigi, dsbgnya)


Kefahaman bahasa adalah penting untuk kanak-kanak bercakap dan berinteraksi. Namun begitu, terdapat juga kes-kes dimana kanak-kanak bercakap tetapi tidak memahami apa yang dicakapkan. Keadaan ini dapat dilihat apabila kanak-kanak mengulang perkataan atau ayat yang didengarnya, tetapi bukan di dalam konteks atau situasi yang betul. 

Jika terdapat sebarang keraguan mengenai kefahaman bahasa anak anda, rujuklah kepada speech therapist berhampiran anda. Jangan tunggu lebih lama kerana waktu kritikal kanak-kanak untuk belajar bahasa adalah sehingga usia 5 tahun.

Seperti biasa, jangan lupa untuk menyertai kaji selidik kami di bawah. Keputusan akan di berikan kesimpulannya di ruangan Facebook. 

Berapakah anggaran masa anda berkomunikasi dengan anak anda dalam sehari?
  
pollcode.com free polls 
SLT Aishah

Tiada ulasan: