Selasa, 4 November 2014

Mengajar Bahasa Dengan Aktiviti Harian - Bahagian 1


Tidak dinafikan bahawa kebanyakan ibu bapa pada hari ini bekerja dan tidak mempunyai cukup masa untuk diluangkan bersama anak-anak. Terutamanya yang tinggal di Bandar-bandar besar dan memerlukan kos sara hidup yang tinggi. Ianya mungkin lebih sukar jika anak mempunyai masalah kelewatan bahasa dimana masa yang lebih diperlukan untuk mengajar dan mengembangkan kemahiran bahasa mereka.

Salah satu penyelesaian yang boleh membantu ibu bapa adalah dengan mengajar dan berlatih kemahiran bahasa melalui aktiviti harian. Terdapat banyak cara yang menarik yang boleh dilakukan oleh ibu bapa tanpa perlu perubahan yang drastik dalam rutin harian. Tambahan pula, pengajaran yang dilakukan boleh digeneralisasikan serta merta dan membantu kanak-kanak untuk berlatih bahasa dalam situasi yang sebenar.