Selasa, 4 November 2014

Mengajar Bahasa Dengan Aktiviti Harian - Bahagian 1


Tidak dinafikan bahawa kebanyakan ibu bapa pada hari ini bekerja dan tidak mempunyai cukup masa untuk diluangkan bersama anak-anak. Terutamanya yang tinggal di Bandar-bandar besar dan memerlukan kos sara hidup yang tinggi. Ianya mungkin lebih sukar jika anak mempunyai masalah kelewatan bahasa dimana masa yang lebih diperlukan untuk mengajar dan mengembangkan kemahiran bahasa mereka.

Salah satu penyelesaian yang boleh membantu ibu bapa adalah dengan mengajar dan berlatih kemahiran bahasa melalui aktiviti harian. Terdapat banyak cara yang menarik yang boleh dilakukan oleh ibu bapa tanpa perlu perubahan yang drastik dalam rutin harian. Tambahan pula, pengajaran yang dilakukan boleh digeneralisasikan serta merta dan membantu kanak-kanak untuk berlatih bahasa dalam situasi yang sebenar.

Beberapa rutin harian yang biasanya dilakukan dan boleh digunakan untuk untuk mengajar kemahiran bahasa anak-anak adalah seperti :
  • Semasa waktu pagi
  • Semasa makan
  • Semasa hendak tidur
  • Semasa makan di restoran

MENGAJAR BAHASA DI WAKTU PAGI

Bangun tidur
Ketika membangunkan anak, anda boleh lakukannya dengan perlahan dan lembut. Ucapkan selamat pagi atau beri salam atau good morning. Permulaan hari yang baik adalah penting untuk pembelajaran yang seterusnya.


Di bilik air
Semasa dibilik air, beberapa kemahiran yang boleh diajar seperti:

  1. Kosa kata
  • Sebut dan namakan barang-barang yang ada dibilik air dan yang ingin diguna seperti berus gigi, ubat gigi, sbun, syampoo dan sebagainya.
  • Namakan anggota badan ketika melihat cermin

  1. Mengikut arahan / belajar urutan (sequencing)
  • Anda boleh memberikan arahan kepada anak ketika ingin ketandas atau memberus gigi seperti “buka seluar”, “buka baju”, “ambil berus gigi”, “buka mulut” dan sebagainya
  • Selain itu, anda juga boleh mengajar berkenaan urutan (sequencing) seperti ketika hendak memberus gigi “ambil berus gigi, letak ubat gigi, gosok gigi dan berkumur”. Anda boleh membuat urutan gambar dan meletakkan di cermin bilik air.


  • Untuk kanak-kanak yang lebih besar anda mungkin perlu meletakkan arahan tulisan sahaja tanpa gambar. Ini boleh membantu mereka untuk belajar membaca dan memahami arahan memalui bacaan.

  1. Membina ayat
Sebut apa yang anda lakukan atau anak lakukan. Anda boleh mengajar ayat 2, 3, 4 perkataan seperti “gosok gigi, sabun badan, adik syampu rambut, adik gosok gigi, mama sikat rambut adik” dan banyak lagi.


Memakai pakaian
Semasa memakai pakaian dan memilih pakaian yang sesuai, anda boleh mengajar :
  1. Kemahiran meminta
Untuk menggalakkan kanak-kanak meminta, anda boleh menyuruh ana anda meminta pakaian yang diigininya seperti baju, seluar, kasut, stoking dan sebgainya. Anda boleh juga  bertanya berkenaan warna pakaian atau jenis pakaian yang ingin dipakai.


  1. Bercerita tentang aktiviti pada hari itu
Jika terdapat aktivti yang spesifik pada hari tersebut, anda boleh bercerita tentangnya. Contohnya, jika terdapat hari sukan, anda boleh bercerita mengenai baju yang sesuai untuk sukan. Jika hari tersebut hujan, baju atau alatan apakah yang boleh digunakan dan sebgainya.


Bersarapan
Semasa bersarapan, beberapa kemahiran berikut boleh diaplikasikan:
  1. Kemahiran meminta
Minta anak anda meminta makanan yang diingini seperti roti, susu, telur, dll. Bantu anak anda sekiranya mereka tidak dapat meminta dengan sendiri. Selaian meminta secara verbal, anda boleh juga mengajar mereka menggunakan gesture untuk meminta seperti menunjuk / menadah tangan.

  1. Menukar kebiasaan
Salah satu cara untuk menggalakkan kanak-kanak bercakap adalah dengan menukar rutin harian mereka dan memerlukan mereka untuk membetulkannya. Sebagai contoh, anda memberi cawan sahaja dan “lupa” untuk menuang air, atau anda “tersalah” memberikannya garfu untuk makan bubur. Berpura-pura tidak tahu apabila mereka kelihatan bingung, sehingga mereka boleh menggunakan cara mereka sendiri (verbal atau bukan verbal) untuk memberitahu anda apa yang diperlukan.

  1. Melabel, menerangkan ciri-ciri dan fungsi objek
Anda boleh berbincang mengenai makanan yang dimakan seperti nama makanan, rasa, warna, bau dan sebagainya. Anda juga boleh bercerita mengenai alatan-alatan yang digunakan untuk makan dan minum seperti, kita nak minum guna apa? “cawan” dan sebagainya.

  1. Menyusun urutan aktiviti harian
Anda boleh berbual mengenai aktiviti anak anda pada hari tersebut. Contohnya seperti jika anak anda pergi ke sekolah, anda boleh bertanya mengenai peralatan yang dia perlu bawa seperti buku, beg, pensil dan sebagainya. Jika pada hari cuti sekolah, anda boleh berbual mengenai aktiviti yang ingin dibuat pada hari tersebut seperti pergi ke taman permainan, berenang dan sebagainya. Anda juga boleh merancang apa yang ingin dibawa ke taman permainan atau ke kolam renang.



Jadikan aktiviti bangun pagi sebagai sesuatu yang menyeronokkan. Selain dari belajar bahasa, ia juga boleh mengeratkan hubungan antara ibu bapa dan anak.

Selamat mencuba! :)


SLP Aishah

Tiada ulasan: