Selasa, 26 Mei 2015

Selective Mutism: Apa, Kenapa dan Bagaimana


Apa itu Selective Mutism?
Selective Mutism biasanya berlaku ketika zaman kanak-kanak. Ia bisanya bermula sebelum kanak-kanak berusia 5 tahun, tetapi kebanyakannya dapat dikenalpasti ketika usia persekolahan. Kanak-kanak dengan selective mutism biasanya akan menunjukkan ciri-ciri seperti :

  • Tidak bercakap dalam sesetengah tempat atau situasi contohnya di sekolah atau di luar rumah
  • Bercakap dengan normal sekurang-kurangnya di satu tempat seperti di rumah atau bersama kawan-kawan
  • Mengganggu pelajaran  dan sosial
  • Mempunyai kemahiran bahasa yang baik
  • Bukan “malu” yang biasa
  • Bukan disebabkan oleh masalah-masalah pertuturan seperti kegagapan


Kenapa Terjadi?
Pelbagai sebab boleh menyebabkan Selective Mutism, antaranya ialah :
  • Masalah ketakutan atau anxiety
  • Masalah kekurangan keyakinan diri
  • Masalah bahasa, pertuturan atau masalah pendengaran


Bagaimana Merawat Selective Mutism?

Selective Mutism didefinasikan sebagai kecelaruan psikiatrik. Oleh itu rawatan kepada masalah ini mestilah melibatkan kerjasama diantara pakar psikologi, pakar psikiatrik dan Terapis Pertuturan-Bahasa (SLT). Bagi merawat masalah Selective Mutism ini, terdapat beberapa cara yang biasanya digunakan. Rawatan yang dipilih adalah berdasarkan kepada punca masalah dan kaedah mana yang paling berkesan untuk kanak-kanak tersebut. Terdapat 4 komponen rawatan yang boleh dilakukan:

Komponen 1 : Pendekatan Rawatan Psikodinamik
Komponen rawatan ini dikenali sebagai “psikoterapi” yang melibatkan rawatan bersama pakar psikologi dan pakar psikiatri. SLT tidak terlibat secara langsung dengan rawatan ini kecuali jika terdapat isu-isu komunikasi yang memerlukan perhatian.

Kompenen 2 : Pendekatan Rawatan Keluarga
Sesetengah kanak-kanak menunjukkan ciri-ciri Selective Mutism ini disebabkan oleh masalah dan konflik di dalam keluarga. Bagi kes yang sebegini, kaunseling keluarga perlu dititikberatkan. Ianya dilakukan oleh kaunselor. SLT memainkan peranan untuk mengajar cara dan teknik komunikasi yang betul kepada ahli keluarga.

Komponen 3 : Pendekatan Modifikasi Sikap (Behavioural modification approach)
Disinilah dimana SLT akan terlibat secara aktif dalam membantu meningkatkan fungsi komunikasi di persekitaran sekolah atau mana-mana persekitaran yang memerlukan bantuan. Rawatan yang diberikan adalah denga cara memberi peneguhan kepada respon yang positif dan tidak menggalakkan respon yang tidak diingini.


Terdapat 2 jenis teknik yang biasanya digunakan di dalam pendekatan ini iaitu stimulus fading dan shaping. Dalam stimulus fading, persekitaran yang mana kanak-kanak selesa untuk berkominikasi akan direka. Begitu juga dengan orang yang terlibat di dalam terapi. Persekitaran dan orang yang terlibat akan diubah sedikit demi sedikit sehingga kanak-kanak boleh berkomunikasi dalam persekitaran yang biasa.

Bagi teknik shaping pula, kanak-kanak akan diberi peneguhan untuk setiap cubaan untuk berkomunikasi bermula dengan penggunaan isyarat dan seteruskan akan dibentuk kepada komunikasi verbal. Peneguhan / hadiah adalah sangat penting dalam teknik ini. Sebagai contoh, kanak-kanak menunjuk kepada biskut yang diingini dia akan mendapat 1 biskut. Jika dia menyebut nama biskut tersebut, dia akan mendapat 2 biskut. Harus diingat disini bahawa peneguhan yang diberikan mestilah akan memberikan motivasi kepada kanak-kanak untuk terus bercakap.

Komponen 4 : Rawatan dengan ubat
Rawatan ini biasanya digunakan lebih kepada mengurangkan simptom-simptom seperti anxiety kanak-kanak atau orang dewasa. Ianya perlulah dengan perbincangan dan kebenaran dari pakar.

Rawatan yang diberikan mestilah bersesuaian dengan kanak-kanak tersebut. Ianya mestilah secara menyeluruh dan melibatkan banyak pihak seperti pakar psikologi, psikiatri, SLT, guru dan juga ibu bapa.
SLT Aishah


Tiada ulasan: